Memperkukuh Pintu Masuk Negara Dengan Teknologi Terkini

Kedudukan Sarawak yang bersempadan dengan Indonesia dan Brunei Darussalam menjadikan negeri ini benteng hadapan negara dalam memantau pelbagai aktiviti rentas sempadan.

Laluan darat seperti Tebedu//Entikong sering dikaitkan dengan aktiviti penyeludupan dadah dan kemasukan pendatang tanpa izin, manakala perairan Sarawak menjadi laluan transit bagi kapal-kapal yang membawa barangan terlarang.

Cabaran ini semakin kompleks susulan pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan yang dijangka meningkatkan lagi aliran lintas sempadan.

Kebelakangan ini, kes penyeludupan dan kemasukan pendatang tanpa izin menunjukkan peningkatan yang ketara.

Misalnya di peringkat Malaysia, dari tahun 2023 hingga September 2024, Op Taring Wawasan merekodkan 3,031 kes dan 4,216 tangkapan dengan nilai rampasan berjumlah RM346.85 juta, melibatkan dadah, rokok, minuman beralkohol, petrol, diesel, dan pendatang asing tanpa izin di seluruh negara.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperuntukkan sebanyak RM1.7 juta bagi pembelian peranti berteknologi tinggi seperti Instant Visual Drug Detector (IVDD) yang pertama kalinya digunakan di Sarawak (Kredit gambar : BERNAMA)

Peningkatan kes Notis Penolakan (NTL) turut berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), iaitu daripada 900 kes pada Mei 2025 kepada 1,134 kes pada Julai 2025 iaitu peningkatan hampir 26 peratus dalam tempoh tiga bulan.

Di peringkat Sarawak pula juga berlaku kes yang melibatkan pintu masuk negara misalnya sindiket penyeludupan manusia di Kuching International Airport (KIA) pada 29 Julai 2025 menunjukkan bahawa 15 warga Bangladesh ditahan kerana memasuki Sarawak menggunakan pasport palsu dipercayai membayar antara RM18,000 hingga RM20,000 seorang kepada ejen sindiket bagi mendapatkan dokumen perjalanan haram.

Selain itu, operasi sempadan seperti Ops Serkap dan Ops Kutip di Tebedu, Serian pada 11 Jun 2025 yang berjaya menahan 11 warga Indonesia yang dipercayai di seludup masuk secara haram.

Kes-kes ini membuktikan bahawa pengawasan pintu masuk negara khususnya di Sarawak memerlukan sistem keselamatan yang canggih dan bersepadu.

Dalam menghadapi cabaran keselamatan sempadan yang semakin kompleks, kerajaan negeri Sarawak bersama agensi penguatkuasaan terus melangkah ke hadapan dengan memperkenalkan pelbagai teknologi generasi baharu.

Usaha ini diselaraskan di peringkat nasional bagi memperkukuh kawalan sempadan serta memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kini memperkukuh keupayaan kawalan dengan pemasangan 66 unit mesin pengimbas berteknologi tinggi di pintu-pintu masuk utama seluruh negara yang melibatkan nilai perolehan RM84.30 juta.

66 unit mesin pengimbas bagasi berteknologi tinggi yang dilengkapi dengan AI ditempatkan di seluruh negara termasuk Sarawak (Kredit gambar : Buletin TV3)

Mesin pintar ini mampu melakukan pengecaman dan analisis imej dengan lebih tepat, sekali gus membantu mengesan corak penyeludupan barangan terlarang, khususnya narkotik, secara efisien dan berkesan.

Keupayaan mengimbas tanpa perlu membuka bagasi bukan sahaja menjimatkan masa, malah meningkatkan tahap ketepatan pengesanan.

Menariknya, sistem ini turut dikendalikan oleh pegawai terlatih dalam bidang Pengaturcaraan Neuro Linguistik (NLP) iaitu kepakaran yang membolehkan mereka membaca ekspresi wajah dan gerak tubuh penumpang untuk mengenal pasti sebarang kelakuan mencurigakan sebelum pemeriksaan fizikal dilakukan.

Pendekatan ini menggabungkan kecekapan teknologi dan ketajaman naluri manusia, menjadikan proses pemeriksaan lebih menyeluruh dan berkesan.

Dari sudut pengurusan data dan imigresen, Jabatan Imigresen Malaysia melangkah setapak ke hadapan dengan memperkenalkan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

Dilaksanakan secara percubaan bermula 22 September 2025, sistem ini merupakan tonggak utama dalam transformasi digital negara.

Dengan memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), NIISe menggabungkan pelbagai perkhidmatan imigresen di bawah satu platform bersepadu termasuk pengurusan pelawat, warga asing dan kawalan pintu masuk udara serta darat secara automatik dan tersusun.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching antara lima lokasi utama yang dipilih bagi pelaksanaan percubaan ini, melambangkan komitmen Sarawak dalam mendepani era digitalisasi kawalan sempadan yang lebih moden dan berasaskan data pintar.

Tidak ketinggalan, kerajaan negeri turut menumpukan perhatian terhadap pengukuhan aset fizikal dan teknologi di pintu masuk negara.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperuntukkan sebanyak RM1.7 juta bagi pembelian peranti berteknologi tinggi seperti Instant Visual Drug Detector (IVDD) dan Hand-Held Back Scatter yang buat pertama kalinya digunakan di Sarawak.

Kawasan utara seperti Lawas dan Ba’Kelalan menjadi tumpuan utama, memandangkan lokasinya berisiko tinggi terhadap kegiatan penyeludupan akibat kekangan infrastruktur lapangan terbang domestik.

Dalam masa yang sama, penggunaan mesin pengimbas wajah generasi baharu “Dsonic eGate” turut dicadangkan.

Dengan ketepatan pengesanan mencecah 99.9 peratus, sistem ini mampu mempercepatkan proses imigresen sekali gus memperkukuh keselamatan melalui teknologi biometrik yang lebih canggih dan tepat.

Selain itu, sistem Pemantauan Kenderaan (VMS) dan e-Movement turut digunakan di sempadan Malaysia–Brunei bagi menjejak pergerakan kenderaan serta individu secara masa nyata, memastikan kawalan keluar masuk sentiasa berada di tahap optimum.

Pasukan Artificial Intelligence Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membangunkan Dr Ghaz Sensor iaitu sebuah alat pengesan pergerakan ciptaan anak tempatan yang direka khusus untuk mengesan aktiviti penyeludupan serta kemasukan pendatang tanpa izin melalui laluan tidak rasmi seperti jalan tikus dan jalan gajah.

Kejayaan inovasi ini diiktiraf apabila Dr Ghaz Sensor dinobatkan naib johan pada Sambutan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia membuktikan kemampuan Sarawak untuk menjadi peneraju dalam bidang teknologi keselamatan ciptaan sendiri.

Bagi pengawasan laut dan udara pula, kerajaan negeri memperuntukkan RM11 juta bagi penyediaan dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV) yang digunakan untuk rondaan di sepanjang sempadan Sarawak–Kalimantan, terutamanya di kawasan yang sukar dicapai.

Di samping itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui Projek Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) turut memperkukuh kawalan dengan pemasangan radar di lokasi strategik seperti Canada Hills, Bukit Nyabau, dan Tanjung Datu.

Sistem ini berupaya memantau pergerakan kapal atau bot mencurigakan dengan ketepatan tinggi, memastikan sempadan perairan Sarawak sentiasa dipantau rapi.

Namun, pelaksanaan teknologi canggih ini tidak terlepas daripada cabaran.

Topografi Sarawak yang berbukit-bukau, dikelilingi sungai dan hutan tebal menuntut penyesuaian berterusan dalam membina pos kawalan dan sistem pengawasan kekal.

Walau begitu, dengan komitmen padu kerajaan negeri dan agensi keselamatan, Sarawak terus menunjukkan iltizam untuk menjadi benteng hadapan negara menjadikan sempadannya bukan sekadar garis pemisah geografi, tetapi simbol kekuatan, ketegasan, dan kemajuan teknologi masa hadapan.

Dengan kawalan sempadan yang lebih efisien dan inovasi tempatan yang berdaya saing, negeri ini mampu mengekang ancaman penyeludupan dan migrasi haram,

Selain meningkatkan keselamatan, penerapan teknologi turut membuka peluang kepada Sarawak untuk menjadi hab logistik serantau yang berpaksikan teknologi sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara yang berdaya tahan, inovatif, dan bersedia menghadapi cabaran keselamatan serantau masa depan.

Rujukan :              

Nini Shahira. (2024, September 27). Mesin pengimbas bagasi berteknologi tinggi perkasa kawalan pintu masuk negara – JKDM. Buletin TV3. https://www.buletintv3.my/nasional/mesin-pengimbas-bagasi-berteknologi-tinggi-perkasa-kawalan-pintu-masuk-negara-jkdm/

Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS). (2025). News – Laman Web Jabatan Premier Sarawak. Sarawak.gov.my. https://premierdept.sarawak.gov.my/web/subpage/news_view/7671/UKAS

Joni, M. (2019, May 9). Pintu masuk Sarawak diperketat. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/05/561969/pintu-masuk-sarawak-diperketat

Ibrahim, J. (2023, October 11). Datasonic perkenal `Dsonic eGate’ berupaya kesan sehingga 99.9% ketepatan wajah di pintu masuk negara | DagangNews – Berita Bisnes Anda. DagangNews – Berita Bisnes Anda. https://www.dagangnews.com/article/datasonic-perkenal-dsonic-egate-berupaya-kesan-sehingga-9999-ketepatan-wajah-di-pintu-masuk-negara-31157

Yunus, I. K. (2025, March 10). Kawalan sempadan Sarawak, Kalimantan diperketat – TVS. TVS. https://www.tvsarawak.my/2025/03/10/kawalan-sempadan-sarawak-kalimantan-diperketat/925?srsltid=AfmBOoqTVCE0iGnMIMxYNjyZtu1S3lwuOWwt27VuakusgfVmSDEKOHo8

More from author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Related posts

Advertismentspot_img

Latest posts

Healing, Outreach, Prevention & Empowerment

Sometimes, healing begins with a single step and HOPE makes the journey possible

Komunikasi Lintas Budaya Dalam Era Digital

Setiap langkah kecil yang anda ambil hari ini mampu membawa impak besar dalam cara anda berkomunikasi esok.

Sarawak’s Innovation Surge: From Rainforests to a Green Hydrogen Powerhouse

Emerging from the global pandemic with renewed purpose, Sarawak is executing a bold, state-led transformation.

Want to stay up to date with the latest news?

We would love to hear from you! Please fill in your details and we will stay in touch. It's that simple!