Teknologi Perubatan dan Bioteknologi sebagai Teras Kesihatan Mampan

Kemajuan pesat dalam bidang sains dan teknologi telah meletakkan teknologi perubatan dan bioteknologi sebagai dua teras utama dalam transformasi sistem kesihatan moden.

Di peringkat global, kedua-dua bidang ini menjadi pemangkin kepada perubahan cara penyakit dicegah, dikesan dan dirawat, selain menyokong kelestarian sistem kesihatan dalam berdepan cabaran seperti penuaan populasi, kemunculan penyakit baharu dan peningkatan kos rawatan.

Di Malaysia dan Sarawak, penerapan teknologi perubatan dan bioteknologi semakin penting selari dengan agenda pembangunan negara dan wilayah sehingga 2030.

Teknologi perubatan merangkumi penggunaan peralatan canggih, perisian pintar, sistem digital dan inovasi kejuruteraan untuk tujuan pencegahan, diagnosis, pemantauan serta rawatan penyakit.

Ia meliputi aplikasi seperti peranti pengimejan perubatan termasuk Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), Imbasan Tomografi Komputer (CT Scan) dan ultrasound, robotik pembedahan, teleperubatan, sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR), kecerdasan buatan (AI) dalam diagnostik serta peranti boleh pakai bagi pemantauan kesihatan.

Matlamat utama teknologi perubatan adalah untuk meningkatkan ketepatan rawatan, mengurangkan risiko kepada pesakit, mempercepatkan proses pemulihan serta memperluas akses perkhidmatan kesihatan, khususnya kepada masyarakat luar bandar dan pedalaman.

Bioteknologi pula merujuk kepada penggunaan sistem biologi, organisma hidup atau komponen sel untuk membangunkan produk dan teknologi yang memberi manfaat kepada manusia.

Dalam konteks perubatan, bioteknologi meliputi pembangunan vaksin, penghasilan ubat berasaskan biologi (biopharmaceuticals), terapi gen, terapi sel stem, kejuruteraan tisu dan diagnostik molekul.

Pendekatan ini memberi tumpuan kepada rawatan penyakit pada peringkat molekul dan genetik, sekali gus membuka ruang kepada perubatan tersuai (personalised medicine) yang lebih berkesan dan spesifik mengikut profil biologi individu.

Walaupun teknologi perubatan dan bioteknologi saling melengkapi, kedua-duanya berbeza dari segi pendekatan dan aplikasi.

Teknologi perubatan lebih menjurus kepada penyediaan peralatan dan sistem fizikal atau digital yang menyokong proses klinikal secara langsung di hospital dan klinik.

Sebaliknya, bioteknologi menumpukan kepada manipulasi proses biologi melalui penyelidikan makmal dan ujian klinikal sebelum diaplikasikan kepada pesakit.

Sebagai contoh, penggunaan kecerdasan buatan untuk menganalisis imej X-ray atau imbasan CT tergolong dalam teknologi perubatan, manakala pembangunan vaksin mRNA dan terapi gen merupakan aplikasi bioteknologi.

Gabungan kedua-duanya membolehkan rawatan yang lebih tepat, cekap dan bersifat pencegahan.

Di peringkat global, perkembangan pesat teknologi perubatan dan bioteknologi didorong oleh peningkatan populasi warga emas, kemunculan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit serta keperluan kepada sistem kesihatan yang lebih cekap dan mampan.

Pandemik COVID-19 menjadi titik perubahan penting apabila bioteknologi dimanfaatkan secara besar-besaran dalam pembangunan vaksin dan ujian diagnostik pantas, manakala teknologi perubatan digital memperkukuh perkhidmatan telekesihatan dan pemantauan pesakit jarak jauh.

Negara maju terus melabur dalam penyelidikan terapi kanser, penyakit genetik dan penyakit jarang jumpa, manakala teknologi kesihatan digital digunakan untuk mengurangkan kos rawatan dan meningkatkan kecekapan sistem kesihatan.

Di Malaysia, teknologi perubatan dilihat lebih meluas penggunaannya berbanding bioteknologi, khususnya dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam dan swasta.

Pendigitalan sistem kesihatan dilaksanakan melalui pelaksanaan Clinic Care Management System (CCMS), Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dan penggunaan teleperubatan yang membantu mengurangkan masa menunggu pesakit serta meningkatkan kapasiti klinik dan hospital.

Usaha pendigitalan klinik di Sarawak membolehkan rekod perubatan diakses secara dalam talian, mengurangkan kebergantungan kepada rekod fizikal serta meningkatkan keberkesanan penjagaan pesakit (Kredit Gambar : FreePik)

Transformasi ini disokong oleh dasar kerajaan serta platform kerjasama seperti Healthcare Information and Management System Society (HIMSS) Malaysia 2025 yang memfokuskan penggunaan rekod digital, kecerdasan buatan dan data besar dalam penjagaan kesihatan.

Dalam masa yang sama, pembangunan bioteknologi negara dipacu oleh Dasar Bioteknologi Negara (DBN )yang dilancarkan pada April 2005 dengan fokus membangunkan ekonomi  berteraskan inovasi (2005-2020).

Kesinambungan daripada DBN (2005-20202), DBN 2.0 kini diperluaskan melalui Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (2022-2030) yang memberikan fokus kepada bidang bioteknologi pertanian dan jaminan makanan.

Kini, Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (2022-2030) memberikan fokus kepada bidang bioteknologi pertanian dan jaminan makanan (Kredit Gambar : FreePik)

Selain bertujuan untuk memperkukuh ekosistem bioteknologi negara sehingga 2030 dengan sasaran meningkatkan sumbangan sektor bioteknologi kepada 5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ia juga menyasarkan untuk memperkukuhkan kedudukan syarikat biotek Malaysia di peringkat global.

Antara pihak yang terlibat secara langsung dalam sektor ini termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai kementerian peneraju, syarikat bioteknologi penjagaan kesihatan seperti Duopharma dan Biocon, penggiat bioteknologi pertanian serta bioteknologi perindustrian.

Agensi sokongan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Bioeconomy Corporation, SIRIM Berhad (SIRIM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut memainkan peranan penting dalam pembangunan ekosistem bioteknologi negara.

Di Sarawak, teknologi perubatan digital menjadi keutamaan bagi merapatkan jurang akses kesihatan antara bandar dan pedalaman.

Setakat November 2025, sebanyak 175 daripada 271 klinik kesihatan awam, iaitu kira-kira 73 peratus, telah sepenuhnya didigitalkan.

Pendigitalan ini membolehkan rekod perubatan diakses secara dalam talian, mengurangkan kebergantungan kepada rekod fizikal serta meningkatkan keberkesanan penjagaan pesakit.

Semua klinik kesihatan di Sarawak dijangka mencapai status digital sepenuhnya dalam tahun 2026.

Pelaksanaan sistem digital ini turut membuka laluan kepada penggunaan kecerdasan buatan dalam diagnostik, analitik ramalan dan peluasan perkhidmatan teleperubatan, khususnya bagi komuniti luar bandar.

Dalam bidang bioteknologi, Sarawak mempunyai potensi besar hasil kekayaan biodiversiti hutan hujan tropika.

Penyelidikan berasaskan sumber bio-tempatan membuka peluang kepada pembangunan produk farmaseutikal, diagnostik molekul dan inovasi bio bernilai tinggi.

Pendekatan ini bukan sahaja menyokong kesihatan awam tetapi juga menyumbang kepada pembangunan bioekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di peringkat negeri.

Teknologi perubatan dan bioteknologi penting kerana keupayaannya meningkatkan ketepatan dan keberkesanan rawatan, membolehkan diagnosis awal dan rawatan pencegahan, mengurangkan kos rawatan jangka panjang serta memperluas akses perkhidmatan kesihatan ke kawasan terpencil.

Selain itu, pembangunan bioteknologi tempatan membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada import ubat dan meningkatkan daya tahan sistem kesihatan.

Dalam jangka panjang, peralihan ke arah perubatan pencegahan dan perubatan tersuai (personalised medicine) dijangka meningkatkan kualiti hidup masyarakat serta menyokong pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Secara keseluruhannya, teknologi perubatan dan bioteknologi merupakan dua tonggak utama dalam transformasi sistem kesihatan moden.

Dari perspektif global hingga ke Malaysia dan Sarawak, kedua-dua bidang ini saling melengkapi dalam memastikan sistem kesihatan yang lebih inklusif, cekap dan mampan.

Dengan pelaburan strategik, dasar yang menyokong serta kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi penyelidikan, Malaysia dan Sarawak berada pada landasan yang kukuh untuk memanfaatkan teknologi perubatan dan bioteknologi sebagai pemacu kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi.

Rujukan :

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. DASAR BIOTEKNOLOGI NEGARA 2.0 Ke Arah Masyarakat Bio-Inovasi (2022 – 2030).

SME Corp Malaysia. Bioteknologi Di Malaysia. smecorp.gov.my/index.php/en/component/content/article/125-program-untuk-pks/akses-kepada-teknologi/158-bioteknologi.

UKK Norhanita. “MAJLIS PELANCARAN LAPORAN TAHUNAN CLINICAL RESEARCH MALAYSIA (CRM) 2024.” Portal Rasmi KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA , 2025, www2.moh.gov.my/index.php/pages/view/12483?

UKK Norhanita.  “PERSIDANGAN HIMSS 2025- MEMACU TRANFORMASI DIGITAL KESIHATAN NEGARA.” Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, 2025, moh.gov.my/index.php/pages/view/12554.

https://smecorp.gov.my/index.php/en/component/content/article/125-program-untuk-pks/akses-kepada-teknologi/158-bioteknologi
https://www.mosti.gov.my/wp-content/uploads/2022/09/Dasar-Bioteknologi-Negara-2.0-1.pdf
https://moh.gov.my/index.php/pages/view/12964

More from author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Related posts

Advertismentspot_img

Latest posts

Cultivating the Future Through Sustainable and Smart Farming Transformation

Sarawak pepper, the "King of Spices," is being revitalised through smart farming technologies like IoT sensors, drones, and mobile apps. These innovations double yields, ensure quality, and promote sustainability, empowering smallholder farmers to access premium global markets and secure rural livelihoods.

Smart Solution to Address Losses in the Jellyfish Industry

In an increasingly challenging world facing pressure on natural resources, innovative approaches such as SAJECD deserve continued strengthening, as they demonstrate that effective solutions typically emerge from a deep understanding of on-the-ground realities.

Artificial Intelligence Revolutionizes STEM Education

Despite challenges related to ethics, data security, and the digital divide, various studies indicate that the adoption of AI technology can enhance teaching effectiveness and help students gain a deeper understanding of scientific and technological concepts

Want to stay up to date with the latest news?

We would love to hear from you! Please fill in your details and we will stay in touch. It's that simple!