Dalam memastikan pembangunan ekonomi berkembang pesat, Kerajaan Persekutuan dan Negeri dilihat sentiasa berusaha dalam melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi negara yang berteraskan kepada pembangunan masyarakat.
Inisiatif tersebut termasuk dalam membangunkan ekonomi digital negara.
Oleh itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pelbagai program bertujuan membangunkan ekonomi digital yang mampan.
Di Sarawak, negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan sumber semula jadi, transformasi ke arah ekonomi digital menjadi teras penting pembangunan masa depan.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Sarawak giat melaksanakan pelbagai dasar dan strategi bagi mempercepatkan transformasi digital negeri.
Langkah ini bertujuan bukan sahaja untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran kerajaan, tetapi juga untuk memastikan rakyat di semua lapisan mendapat manfaat daripada kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi.
Menyedari keperluan itu, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak memperkenalkan Program Digital Kenyalang (PDK) iaitu sebuah inisiatif yang dirangka khas bagi memperkasa rakyat, khususnya golongan usahawan mikro dan B40, agar mampu bersaing dalam era ekonomi digital.

Program yang dilaksanakan menerusi kerja sama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ini menjadi simbol kepada aspirasi Sarawak untuk bukan sekadar mengikuti arus global, tetapi untuk memimpin melalui keunikan tempatan dan semangat inovasi.
Terdapat beberapa matlamat utama Digital Kenyalang diwujudkan antaranya ialah memperkasa keusahawanan mikro melalui digitalisasi.
Program ini bertujuan memberi pendedahan dan latihan dalam pemasaran dalam talian, e-dagang dan kemahiran digital kepada usahawan mikro serta pelajar latihan teknik & vokasional (TVET)
Pada awal pelancarannya, PDK menyasarkan 3,000 peserta dalam kalangan usahawan mikro celik teknologi maklumat di seluruh negeri.
Selain itu, menerusi inisiatif ini juga, terdapat dua lagi inisiatif teras ekonomi digital kelolaan MDEC iaitu Program eUsahawan dan eRezeki.
Digital Kenyalang bukan sekadar aplikasi mudah alih, tetapi satu sistem menyeluruh yang menggabungkan pelbagai urusan kerajaan negeri dalam satu platform daripada pembayaran lesen dan cukai hingga ke perkhidmatan komuniti digital.
Digital Kenyalang diwujudkan untuk mempercepatkan transformasi digital kerajaan negeri dan memupuk budaya penggunaan teknologi dalam kalangan rakyat Sarawak.

Antara objektif utama pelaksanaannya ialah membuka laluan dan melatih isi rumah berpendapatan rendah agar dapat meraih peluang pendapatan melalui alam digital.
Program yang merangkumi enam (6) lokasi strategik di seluruh negeri ini adalah bukti usaha kerajaan bagi mewujudkan kesedaran dan meningkatkan penyertaan golongan sasaran terhadap peluang-peluang ekonomi digital yang disediakan oleh kerajaan.
Antara enam lokasi tersebut ialah Kuching, Samarahan, Sri Aman, Miri, Sibu, dan Limbang.
Antara komponen utama dalam rangkaian program Digital Kenyalang ialah aktiviti bootcamp e-usahawan dan e-rezeki, lantikan pelatih tempatan, serta penyediaan latihan percuma e-usahawan dan e-rezeki kepada semua peserta yang mendaftar.
Program e-usahawan merupakan program latihan pembelajaran luaran dan dalam talian untuk golongan belia dan usahawan mikro dalam keusahawanan digital untuk menjana pendapatan, mempromosi serta meningkatkan jualan.

Ilmu tersebut disampaikan kepada pelajar sepenuh masa di pusat TVET dan dikembangkan kepada komuniti usahawan mikro melalui kursus jangka pendek di Pusat-Pusat TVET terpilih di seluruh negara.
Pada 2016 sebanyak 348 Pusat TVET telah terlibat.
Sejak ia diperkenalkan pada 2015, seramai 564,629 peserta yang terdiri daripada golongan usahawan tempatan dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), pelajar Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mendapat manfaat daripada program ini dengan hasil jualan terkumpul yang direkodkan adalah melebihi RM1.26 bilion.
Daripada jumlah tersebut, 34,104 usahawan di Sarawak menerima latihan dan menjana jualan terkumpul melebihi RM51.63 juta.
Antara latihan yang diberikan melalui program e-Usahawan menyampaikan latihan keusahawanan digital termasuklah pemasaran media sosial, mobile commerce, analisis data untuk keberkesanan pemasaran digital, pembayaran atas talian dan keselamatan siber.
Sementara itu, program eRezeki pula merupakan program yang membolehkan golongan berpendapatan rendah menjana pendapatan tambahan melalui kerja secara digital atau platform “gig” ekonomi.
Antara tugas digital termasuklah memasukkan data daripada teks di laman sesawang, audio atau video, menyemak dan memperbaiki maklumat yang silap, membuat carian di Internet dan sebagainya.
Sejak diperkenalkan, program ini berjaya melatih seramai 312,735 peserta untuk mereka memanfaatkan platform digital dan memperoleh pendapatan dalam talian sekali gus telah menjana jumlah pendapatan kolektif sebanyak RM2.51 bilion setakat Disember 2021
Walaupun statistik terkini Program Digital Kenyalang belum diumumkan, inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan di bawah MDEC menunjukkan kesinambungan usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh keupayaan digital rakyat Sarawak.
Usaha Sarawak melalui Digital Kenyalang bukanlah satu langkah terasing, tetapi sejajar dengan trend global dalam pembangunan kemahiran dan keusahawanan digital.
Negara-negara maju turut melaksanakan program seumpamanya dengan tujuan memperkasa rakyat agar mampu bersaing dalam ekonomi digital global.
Sebagai contoh, Australia yang melaksanakan Digital Solutions: Australian Small Business Advisory Services, satu program yang memberi peluang kepada usahawan kecil mendapatkan bimbingan individu sehingga empat jam, di samping bengkel percuma dan webinar.
Topik yang dibincangkan termasuk pemasaran digital, media sosial, e-dagang, perisian perniagaan, dan keselamatan siber.
Program ini menyasarkan perniagaan kecil dengan kurang daripada 20 pekerja tetap dan kini dilaksanakan di semua wilayah Australia.
Kandungan latihan meliputi pemasaran digital, media sosial, laman sesawang & penjualan dalam talian, perisian perniagaan dan keselamatan siber hampir sama dengan modul PDK dan e-Usahawan.
Namun, perbezaannya ialah Australia menekankan bimbingan berterusan individu dan rangkaian komuniti digital yang disokong oleh agensi persekutuan, manakala Digital Kenyalang lebih memfokuskan kepada pendekatan untuk melatih pelajar dan usahawan PKS ke arah literasi digital yang lebih tinggi bermula dari perniagaan kecilan di rumah.
Namun kedua-duanya berkongsi matlamat sama iaitu memperkasa ekonomi melalui digitalisasi mikro tetapi Digital Kenyalang membawa nilai tambah dengan pendekatan berpaksikan komuniti, menjadikan Sarawak antara negeri yang giat melaksanakan inisiatif pembangunan digital berskala besar di Malaysia.
Digital Kenyalang mempunyai impak yang signifikan dalam konteks Sarawak kerana mencerminkan transformasi paradigma dalam pembangunan ekonomi negeri dari bergantung kepada sektor tradisional kepada memanfaatkan teknologi dan digitalisasi sebagai enjin perkembangan.
Ia juga menandakan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan bahawa golongan yang mungkin ketinggalan dalam arus digital (usahawan mikro, komuniti luar bandar, golongan B40) turut diberi peluang sebuah pendekatan yang inklusif.
Selain berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi digital negeri, memperkukuh daya saing usahawan Sarawak di pasaran yang lebih luas, ia menjadi asas kepada strategi digital negeri yang lebih luas.
Digital Kenyalang adalah satu inisiatif strategik yang mencerminkan visi negeri Sarawak untuk menjadikan teknologi dan digitalisasi sebagai tonggak pembangunan masa depan.
Dengan matlamat yang jelas memperluas capaian teknologi, memperkasakan masyarakat melalui kemahiran digital, dan membolehkan usahawan mikro menyertai ekonomi digital program ini telah mencatat manfaat yang signifikan walaupun masih dalam peringkat awal.
Rujukan :
Aman. (2015, June 17). MDeC Memperkenalkan Program eRezeki – Membolehkan Pengguna Menjana Pendapatan Tambahan Melalui Tugasan Atas-Talian | Amanz. Amanz. https://amanz.my/201589634?
BERNAMA. (2024, July 9). Lebih 500,000 Peserta Terima Manfaat Program eUsahawan. BERNAMA. https://bernama.com/bm/news.php?id=2337935
business.gov.au. (2024, November 20). Digital Solutions. Business.gov.au. https://business.gov.au/expertise-and-advice/digital-solutions-australian-small-business-advisory-services
PERTANYAAN DEWAN RAKYAT MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEENAM, PARLIMEN KETIGA BELAS. (n.d.). https://pardocs.sinarproject.org/documents/2018-march-april-parliamentary-session/written-questions-soalan-bertulis/soalan-354.pdf
season. (2017, October 17). Case study: Winning strategy behind Astro and MDEC’s eRezeki and eUsahawan campaign. Marketing-Interactive. https://www.marketing-interactive.com/case-study-winning-strategy-behind-astro-and-mdecs-erezeki-and-eusahawan-campaign
Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS). (2017). Speeches – Official Sesawangsite Office of the Premier of Sarawak. Sarawak.gov.my. https://premier.sarawak.gov.my/sesawang/subpage/speeches_view/36
Wartawan MalaysiaGazette. (2022). MDEC pacu agenda digital melalui eRezeki. MalaysiaGazette. https://malaysiagazette.com/2022/12/01/mdec-pacu-agenda-digital-melalui-erezeki/
