STILE Revolusikan Pengurusan Trafik Pintar Sarawak

Dalam era urbanisasi yang semakin pesat, bandar-bandar di seluruh dunia kini berdepan cabaran yang kian meruncing antaranya kesesakan lalu lintas yang berpanjangan, peningkatan jumlah kenderaan, isu keselamatan awam serta keperluan terhadap respons kecemasan yang lebih pantas.

Keadaan ini menuntut perubahan struktur yang bukan sahaja bersifat teknikal, malah strategik, bagi memastikan fungsi bandar kekal teratur, selamat dan efisien.

Seiring perkembangan teknologi global, pendekatan Trafik dan Pengawasan Pintar (Smart Traffic & Surveillance) muncul sebagai asas penting dalam membangunkan bandar moden yang berdaya saing.

Teknologi trafik pintar membolehkan aliran kenderaan diurus secara dinamik melalui penggunaan sensor inframerah, kamera definisi tinggi, data masa nyata serta algoritma kecerdasan buatan.

Berbeza dengan lampu isyarat tradisional yang bergantung pada jadual tetap, sistem trafik pintar mampu menilai keadaan semasa di setiap persimpangan sebelum menyesuaikan fasa lampu.

Ini bermakna tempoh lampu hijau atau merah boleh berubah secara automatik mengikut keperluan semasa aliran trafik, sekali gus mengurangkan masa menunggu dan mengoptimumkan laluan kritikal.

Selain mengurangkan kesesakan, sistem ini turut membolehkan ambulans atau kenderaan kecemasan diberi laluan segera tanpa gangguan sekali gus menjadi satu kelebihan penting yang meningkatkan kecekapan respons bandar.

Dalam masa yang sama, bidang pengawasan turut mengalami transformasi besar.

Kemajuan daripada kamera litar tertutup (CCTV) konvensional kepada kamera pintar berkuasa kecerdasan buatan (AI) membolehkan aktiviti mencurigakan, pelanggaran lalu lintas dan kejadian berisiko tinggi dikesan serta-merta.

Melalui pusat pemantauan bandar yang bersepadu, pegawai keselamatan dapat melihat visual masa nyata, menganalisis insiden dan mengatur tindakan balas dengan lebih pantas.

Rangkaian pemantauan bersepadu membolehkan pihak berkuasa mengurus trafik dan keselamatan bandar secara lebih efektif dan proaktif. Kredit Gambar : Utusan Sarawak

Teknologi ini terbukti sangat berguna ketika kecemasan seperti banjir kilat, apabila kamera mampu mengenal pasti kawasan dinaiki air dan memaklumkan pasukan penyelamat lebih awal.

Beberapa negara telah membuktikan keberkesanan penyelesaian ini.

Amerika Syarikat, misalnya, melalui bandar Los Angeles, melaksanakan sistem kawalan trafik ATSAC (Automated Traffic Surveillance and Control) yang melaras lampu isyarat berdasarkan keadaan trafik masa nyata, sekali gus mengurangkan masa perjalanan dan meningkatkan kelancaran aliran kenderaan.

Singapura pula menggunakan Sistem Pengangkutan Pintar (Intelligent Transport System, ITS) yang menggabungkan data Global Positioning System (GPS), kamera trafik dan sensor untuk menyediakan maklumat trafik masa nyata kepada pengguna jalan raya.

Langkah ini membantu pemandu mengelak kawasan sesak serta memilih laluan paling cepat, meningkatkan kecekapan perjalanan dan penjimatan bahan api.

China juga menjadi rujukan global melalui pelaksanaan City Brain, sebuah sistem AI bandar pintar yang terbukti berjaya mengurangkan kesesakan serta meningkatkan keselamatan awam.

City Brain dilaporkan mampu mengurangkan masa respons kecemasan sehingga 50 peratus.

Teknologi ini turut diperluaskan ke Kuala Lumpur, Malaysia, bagi mengurus rangkaian CCTV bandar, menganalisis trafik dan mengoptimumkan aliran kenderaan secara menyeluruh.

Kejayaan negara-negara ini menjadi inspirasi kepada Sarawak dalam mendorong agenda transformasi digitalnya.

Selaras aspirasi tersebut, Sarawak memperkenalkan Sarawak Traffic Light Intelligence Logistic Excellence (STILE), iaitu sistem pengurusan lampu isyarat pintar berasaskan AI bagi menangani isu kesesakan trafik serta meningkatkan keselamatan jalan raya di bandar tersebut sekaligus menggantikan model statik yang tidak lagi relevan dengan perkembangan trafik masa kini.

Sistem STILE pertama kali diperkenalkan di Sri Aman di lima persimpangan utama iaitu di Jalan Hollis, Jalan Michael Pilo, Jalan Kampung Muhibbah, LePapa da Jalan Bayu.

Sri Aman menjadi perintis kepada penggunaan sistem trafik pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di Sarawak. Kredit Gambar : I Love

Dengan bantuan (AI) dalam sistem tersebut, data dapat dikumpul langsung daripada kamera dan sensor di persimpangan termasuk jumlah kenderaan, kelajuan, nombor plat pendaftaran serta situasi luar jangka sebelum memprosesnya melalui pusat pemantauan.

Dengan keupayaan pembelajaran mesin, STILE menjadi semakin cekap dari masa ke masa kerana ia mempelajari corak harian trafik, perubahan musim, pergerakan penduduk dan aliran kenderaan semasa acara besar atau waktu puncak.

Pelaksanaan awal STILE di Sri Aman membuktikan keberkesanannya apabila aliran trafik di persimpangan utama LePapa meningkat dengan pengurangan kesesakan hampir 25 peratus selepas beberapa minggu ujian.

Kejayaan tersebut mendorong peluasan sistem ke lokasi lain seperti Mukah, yang kini menjalani naik taraf di dua persimpangan berstatus “blackspot”.

Fasa seterusnya akan meliputi kawasan Samarahan, Sibu, Bintulu dan Miri, sekali gus memperluas liputan STILE secara berperingkat dari tahun ke tahun.

Menjelang 2025, Sarawak telah menaik taraf 173 daripada 342 lampu isyarat kepada versi pintar, menjadikan negeri ini antara peneraju nasional dalam pembangunan infrastruktur mobiliti berasaskan AI.

Selain mengurangkan kesesakan, STILE turut menyumbang kepada peningkatan keselamatan jalan raya.

Melalui pautan terus ke Pusat Kawalan Trafik Bersepadu, pegawai trafik boleh melihat keadaan persimpangan secara masa nyata, mengesan kemalangan dan membuat pelarasan segera untuk mengelakkan konflik lalulintas.

Dalam aspek pengawasan bandar, rangkaian kamera AI membantu membanteras vandalisme, pembuangan sampah haram dan aktiviti tidak bermoral, di samping meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang tanpa memerlukan tenaga kerja yang besar.

Sistem pengawasan pintar ini juga menjadi aset penting ketika operasi kecemasan, memastikan tindakan balas yang lebih teratur, pantas dan efisien.

Secara keseluruhannya, pembangunan STILE dan pengawasan pintar bukan lagi sebuah pilihan, tetapi keperluan dalam menghadapi cabaran urbanisasi masa kini.

Transformasi ini memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai negeri yang berani berinovasi, progresif dan berpandangan jauh.

Dengan perluasan berterusan rangkaian pintar ini, Sarawak berada pada landasan tepat untuk menjadi contoh terbaik dalam pengurusan trafik dan keselamatan bandar berasaskan AI, bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat Asia Tenggara.

Rujukan :

Edisi UKAS. (2025). News – Laman Web Jabatan Premier Sarawak. Sarawak.gov.my. https://premierdept.sarawak.gov.my/web/subpage/news_view/13410/UKAS

Fasiha Kushiri. (2025). Over 170 Traffic Lights Converted To Smart Systems | Sarawak Tribune. New Sarawak Tribune. https://www.sarawaktribune.com/over-170-traffic-lights-converted-to-smart-systems/

Guo Hanxiang, & Leong Wai Yie. (2025). Optimizing Urban Mobility in Hangzhou: A Case Study of the City Brain’s AI-Driven Traffic Management. INTI JOURNAL., 2025(3). https://doi.org/10.61453/intij.202525

Mahnoor Inam. (2024). Smart City Use Case Examples: Real-World Applications – Minnovation Technologies. Minnovation Technologies. https://minnovation.com.au/smart-cities-2/smart-city-use-case-examples-real-world-applications/

Nazihah AN. (2024). I Love Borneo. I Love Borneo. https://www.iloveborneo.my/sri-aman-pertama-lampu-isyarat-pintar-stile/

More from author

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Related posts

Advertismentspot_img

Latest posts

Healing, Outreach, Prevention & Empowerment

Sometimes, healing begins with a single step and HOPE makes the journey possible

Komunikasi Lintas Budaya Dalam Era Digital

Setiap langkah kecil yang anda ambil hari ini mampu membawa impak besar dalam cara anda berkomunikasi esok.

Sarawak’s Innovation Surge: From Rainforests to a Green Hydrogen Powerhouse

Emerging from the global pandemic with renewed purpose, Sarawak is executing a bold, state-led transformation.

Want to stay up to date with the latest news?

We would love to hear from you! Please fill in your details and we will stay in touch. It's that simple!