Bandar pintar merujuk kepada bandar yang menggunakan teknologi digital, sensordan data untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk, kecekapan perkhidmatan awam, serta kelestarian ekonomi dan alam sekitar.
Dalam konteks negeri Sarawak yang menuju ke arah status negeri maju menjelang 2030, konsep bandar pintar amat signifikan kerana ia menyokong aspirasi Sarawak Digital Economy Blueprint 2030.
Melalui pelaksanaan bandar pintar, pengurusan sumber seperti air, tenaga dan sisa pepejal dapat dilakukan secara lebih sistematik.
Ia turut memperkukuh keselamatan awam serta membuka peluang baharu dalam sektor ekonomi digital, pelancongan, pertanian moden dan logistik.
Antara tonggak utama yang memungkinkan pelaksanaan bandar pintar ialah teknologi komunikasi mudah alih, khususnya rangkaian generasi keempat (4G) dan generasi kelima (5G).
Kedua-dua teknologi ini menjadi infrastruktur asas yang menghubungkan setiap komponen digital daripada rumah pintar hingga kepada sistem pengangkutan pintar dan pemantauan bandar berasaskan data masa nyata.
4G merupakan rangkaian mudah alih generasi keempat yang memperkenalkan sambungan data berkelajuan tinggi berbanding teknologi terdahulu.
Ia membolehkan penstriman video HD, panggilan video, permainan mudah alih, serta penggunaan awam dengan lebih stabil.
Rangkaian 4G didapati dalam dua bentuk utama, iaitu WiMAX (Worldwide Interoperability for Microwave Access) dan LTE (Long Term Evolution).
Di Malaysia, teknologi 4G LTE digunakan secara meluas dan menjadi asas utama kepada sambungan digital di Sarawak.
Kelajuan purata sebenar di Malaysia berada sekitar 20 hingga 50 Mbps muat turun dan 10 hingga 20 Mbps muat naik, yang sudah mencukupi untuk aplikasi digital harian serta sokongan perkhidmatan kerajaan dalam talian.
Rangkaian 4G diperkenalkan di Malaysia sekitar tahun 2013, hanya setahun selepas Korea Selatan melancarkan 4G secara menyeluruh.
Di Sarawak, liputan 4G terus diperluas sebagai langkah persediaan ke arah 5G.
Setakat suku kedua 2023, liputan 4G di kawasan berpenduduk Sarawak mencapai 87.54 peratus, berbanding purata nasional 96.96 peratus.
Kerajaan negeri melalui Sarawak Multimedia Authority (SMA) telah memperuntukkan pembangunan 864 menara baharu, 3,725 pemancar dinaik taraf, dan 207,135 premis dengan sambungan gentian optik gigabit yang berperanan penting dalam memperkukuh infrastruktur komunikasi luar bandar.
5G pula merupakan generasi kelima teknologi komunikasi mudah alih yang menawarkan kelajuan, kapasiti dan kebolehpercayaan jauh melebihi 4G.
Ia menggunakan jalur frekuensi lebih tinggi termasuk gelombang milimeter (mmWave), dengan sokongan teknologi seperti Massive MIMO (Multiple Input Multiple Output) dan network slicing.
Purata kelajuan muat turun 5G ialah antara 150 Mbps hingga 1 Gbps, manakala kelajuan muat naik boleh mencapai 50 hingga 500 Mbps.
Secara teori, 5G berupaya mencapai 10 hingga 20 Gbps pada keadaan optimum, 100 kali lebih pantas daripada 4G.
Selain kelajuan, kelebihan utama 5G ialah latensi (kependaman) yang sangat rendah iaitu hanya 1 milisaat (ms) berbanding 30 hingga 50 ms pada 4G.
Ini bermakna komunikasi masa nyata boleh berlaku dengan hampir tiada kelewatan, sesuai untuk operasi kritikal seperti pembedahan jarak jauh, kenderaan tanpa pemandu, dan pengurusan trafik pintar.
Contoh aplikasinya dapat dilihat di China, apabila satu pembedahan robotik endoskopi pernafasan jarak jauh menggunakan sambungan 5G berjaya dilaksanakan antara Shanghai dan Kashgar.
Di Malaysia pula, kerajaan sedang menguji bas elektrik tanpa pemandu di Putrajaya, dengan integrasi 5G untuk pemantauan masa nyata, sambungan WiFi awam, dan pengumpulan data perjalanan.
Inisiatif ini menunjukkan komitmen Malaysia untuk berdiri seiring dengan negara jiran seperti Thailand dalam pelaksanaan mobiliti pintar.
Menjelang suku keempat 2025, liputan 5G di kawasan berpenduduk Sarawak telah mencapai 63.8 peratus , manakala liputan 4G kekal pada 84.8 peratus.
Secara keseluruhan, liputan internet negeri telah mencecah 90.2 peratus, hasil pelaburan berterusan kerajaan negeri melalui program Saluran bernilai RM2.3 bilion bagi membangunkan infrastruktur telekomunikasi luar bandar.

Setakat September 2025, sebanyak 618 menara telekomunikasi telah siap atau sedang dalam pembinaan di seluruh negeri.
SMA juga sedang melaksanakan projek High-Speed Broadband Rural Networks (HSBRN) di 11 kawasan luar bandar, melibatkan pemasangan kira-kira 1,000 kilometer gentian optik.
Usaha ini penting untuk memastikan semua rakyat, termasuk di pedalaman, dapat menikmati manfaat ekonomi digital.
Dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri, industri dan komuniti tempatan, sasaran membina 7,000 menara komunikasi menjelang 2030 dijangka mampu dicapai menjadikan Sarawak negeri yang benar-benar terhubung secara digital sepenuhnya.
Kehadiran 4G dan 5G membawa impak besar kepada pembangunan sosial dan ekonomi Sarawak.
Sambungan berkelajuan tinggi memperluas akses pembelajaran digital dan kelas atas talian di kawasan luar bandar.
5G pula membuka potensi pendidikan imersif melalui realiti maya (VR) dan simulasi teknikal masa nyata.
Ia juga membolehkan perkhidmatan teleperubatan dan pemantauan pesakit jarak jauh di mana ia amat penting di kawasan pedalaman Sarawak.
Dengan 4G, perniagaan kecil boleh menjalankan e-dagang dengan lancar.
5G pula mempercepat automasi industri, logistik pintar dan pertanian berasaskan Internet of Things (IoT).
Sensor pintar 5G dapat memantau penggunaan tenaga dan air serta mengurangkan pembaziran sumber melalui sistem grid pintar dan lampu jalan automatik.
Walaupun kemajuan ketara dicapai, beberapa cabaran utama masih wujud termasuk topografi luas Sarawak, kos pembinaan infrastruktur tinggi, serta kekurangan tenaga mahir tempatan dalam bidang telekomunikasi.
Kerajaan negeri perlu memperkukuh program latihan digital serta menggalakkan pelaburan swasta dalam pembangunan infrastruktur komunikasi.
Pada masa yang sama, isu keselamatan siber dan privasi data perlu ditangani melalui garis panduan yang jelas dan penguatkuasaan berkesan.
Integrasi 5G akan memperkukuh ekosistem bandar pintar menjadikan Sarawak sebuah negeri yang berdaya saing, berhubung dan berdaya tahan menjelang 2030.
Teknologi 4G dan 5G bukan sekadar peningkatan kelajuan internet, tetapi pemangkin utama dalam pembangunan bandar pintar Sarawak.
Dengan liputan meluas, pelaburan strategik dan sokongan dasar kerajaan, Sarawak berpotensi menjadi negeri pertama di Malaysia yang benar-benar beroperasi dalam ekosistem digital pintar yang inklusif, efisien dan mampan.
Rujukan :
BERNAMA. (2023). Liputan 5g Di Kawasan Berpenduduk Capai 68.8 Peratus Setakat 31 Ogos – Kkd. BERNAMA. https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2229077
BERNAMA. (2024, September 9). Bas Autonomi 5G Antara Dipamerkan Semasa Malaysia Ambil Peranan Pengerusi ASEAN Tahun Depan – Gobind. BERNAMA. https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2338532
BERNAMA. (2025, July 2). 5G Coverage In Sarawak’s Populated Areas Is At 63.8 Pct – SMA GM. BERNAMA. https://www.bernama.com/en/news.php?id=2390485
Co., S. (2019, February 22). Perbezaan Antara 1G, 2G, 3G Vs. 4G Dan 5G – Berita – Focc Technology Co., Ltd. Fibresplitter.com; FOCC Serat Co. LTD. https://my.fibresplitter.com/news/difference-between-1g-2g-3g-vs-4g-and-5g-21582978.html
Malay People. (2025). Teknologi 5G Bantu Doktor Selesaikan Pembedahan dari Jauh. People.cn. http://www.malay.people.cn/n3/2025/0516/c517534-20316013.html
masih, M. (2022, February 21). Rangkaian 4G Malaysia masih ketinggalan, jangan sampai terlepas raih peluang daripada 5G | DagangNews – Berita Bisnes Anda. DagangNews – Berita Bisnes Anda. https://www.dagangnews.com/rangkaian-4g-malaysia-masih-ketinggalan-jangan-sampai-terlepas-raih-peluang-daripada-5g-13117
Yevhenii Kuznietsov. (2023, December 6). Membandingkan Rangkaian Selular 4G dan 5G: Mana Satu Yang Berkuasa? Global YO. https://www.globalyo.com/ms/blog/comparing-4g-and-5g-cellular-networks-which-one-reigns-supreme/
